....................................................................

Sunday, August 3, 2008

GAMIS kesal Pak Lah abaikan fatwa

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) kesal dengan tindakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menghadiri istiadat meletak kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara di sini sempena sambutan Hari Pahlawan (Laporan dalam Berita Harian 1 Ogos 2008). Walaupun pada tahun lepas, iaitu tahun 2007, telah banyak pihak mengkritik tindakan Pak Lah meletak kalungan bunga di Tugu Negara, namun tindakan Pak Lah mengulangi perbuatannya yang jelas bertentangan dengan fatwa yang dikeluarkan mufti-mufti di Malaysia amat mengesalkan.

Perdana Menteri (PM) sepatutnya mengambil-kira pandangan apatah lagi fatwa yang dikeluarkan mufti yang telah diiktiraf kerajaan. Tapi tindakan PM pada hari sambutan Hari Pahlawan itu ibarat beliau tidak tahu menahu akan hukum-hukum agama seperti hukum upacara meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara.

Kami tidak mahu PM Malaysia yang mengaku sebagai pengasas Islam Hadhari itu terus membawa fahaman liberal apatah lagi kapitalis, kerana perbuatan sedemikian akan mengundang lebih banyak fahaman silap pada ajaran agama. Kemungkinan suatu hari nanti, Islam di Malaysia sendiri sudah bertukar rupa menjadi Liberal (semua benda boleh dilakukan termasuk yang haram). PM sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat dalam melaksanakan Islam yang sebenar dan syumul seperti mengamalkan fatwa yang dikeluarkan mufti.

Antara fatwa yang dikeluarkan mufti-mufti ialah:

1) Fatwa Mufti Pulau Pinang - Bahawa haram tiupan dan bertafakur dengan menundukan kepala selama 20 saat dengan meletakan kalung bunga ditugu. Bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan, tetapi dengan syarat tidak dilakukan dihadapan tugu, atau di dalam suasana yang dilarang oleh syarak kerana semua ini adalah upacara agama juga.

2) Fatwa Mufti Pahang - Fatwa berikut yang dibuat oleh Mufti Negeri di bawah subseksyen 36 (1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak menurut subseksyen 39 (6) Enakmen itu adalah disiarkan menurut subseksyen 36(2) Enakmen itu : “Meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan sempena upacara sambutan Hari Pahlawan dan upacara-upacara lain adalah haram dan hendaklah ditinggalkan.”

3) Fatwa Mufti Perlis - Berdoa di tugu peringatan adalah ditegah oleh syara’ dan hukumnya haram kerana perbuatan seumpama itu termasuk di dalam larangan firman Allah, surah al Maidah ayat 90 yang bermaksud:”Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi dan al-ansab (menyembah berhala) dan al azlam (bertenung nasib) adalah najis daripada amalan syaitan. Maka hendaklah kamu jauhkan daripadanya moga-moga kamu berjaya”.

Ridhuan Othman
Timbalan Pengerusi GAMIS

***********************************

Keterangan: “Al-Ansab” maknanya batu orang-orang jahiliyah sembelih korban disisinya dan beribadat kepadanya. Berdoa adalah ibadat, berdoa di batu tugu peringatan sama seperti orang-orang jahiliyah beribadat di al-Ansab yang dimaksudkan di dalam ayat 90 itu.

Sila lihat laman e-fatwa”

No comments: